Wednesday 22 February 2012

Sofia Abadiah (Bab 1)

Sofia Abadiah (Bab 1)

Suasana hening di hospital itu. Seorang jururawat bangun meninggalkan stesennya. Televisyen dibiarkan terpasang. Kejadian tembak-menembak tiga hari lalu masih menjadi berita utama, namun jururawat itu sudah hilang minat. 

Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Sudah tiba waktu untuk rondaannnya. Sepasang stetoskop digantung di lehernya sebelum member isyarat kepada rakannya. Dia berjalan menuju ke wad utama. Semua pesakit telah tidur dan kelihatan tenang. Laluan seterusnya ke wad peribadi. 

Seorang lelaki berpakaian seragam polis terpacak di hadapan pintu. 

“Selamat malam, tuan.” Jururawat Zaleha tidak pasti akan pangkat anggota polis itu lalu dia mengambil jalan selamat dengan paggilan tuan. “Saya hendak memeriksa pesakit ini.”

“Pengenalan diri?” Minta anggota polis itu. Jururawat Zaleha menanggalkan kad pekerjanya dan diberikan kepada lelaki itu. Lelaki itu membelek pengenalan dirinya. Dia kelihatan seperti cuba mengingat sesuatu. Jururawat Zaleha kurang senang melihat lagak anggota polis itu. Sejurus kemudian, lelaki itu memulangkan kad pekerjanya.

“Boleh masuk. Tapi, pastikan pintu tidak ditutup.”

Zaleha hanya mengangguk. Dia sudah biasa dengan prosedur di hospital itu. Dia masuk dan terus menuju ke hujung katil pesakit itu.

Jururawat Zaleha mencapai kad rekod pesakit yang tergantung di hujung katil. Wanita yang terlantar di atas katil besi itu sederhana ketinggiannya. Wajahnya pucat, mungkin kerana kehilangan darah yang banyak. Zaleha dapat memerhatikan wajahnya dengan lebih teliti apabila dia memeriksa saluran IV yang tersambung di lengan wanita itu.

Zaleha senang hati melihat rambut aras bahunya yang bersinar. Wanita itu semakin sihat, dan mungkin akan sedar dari komanya dua atau tiga hari lagi. Yang pasti, wanita itu sudah sedia dipindahkan seperti arahan warisnya. Wanita itu akan pulih, dan mungkin sebulan lagi sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Zaleha sudah lama bertugas sebagai jururawat. Dia dapat merasai perkara sebegitu.

Sebelum meninggalkan bilik itu, dia kembali memandang wanita itu dengan penuh rasa simpati. Tidak kiralah siapa wanita itu; mangsa, penjenayah atau orang kenamaan. Tidak ada orang patut ditembak sehingga berisiko lumpuh.

***

Malam sudah larut, namun ibu pejabat itu tidak pernah sunyi. Ada sahaja aktiviti di situ. Seperti jenayah yang tak pernah tidur, anggota polis juga bertanggung jawab menjaga keamanan dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Pesuruhjaya merenung pemandangan malam dari tingkat bilik pejabatnya. Hari gemilangnya sebagai handalan dalam pasukan telah lama berlalu namun semakin besar beban tugasnya. Berat badannya yang bertambah selaras dengan tanggungjawabnya hanya meningkatkan karismanya. Pesuruhjaya Alimudin digeruni bukan sahaja penjenayah tetapi juga orang bawahannya.

Ketukan pintu menandakan ketibaan Inspektor Mardhiah dan Inspektor Kamal. Mereka memberikan tabik sehingga dijemput duduk oleh Pesuruhjaya Alimudin. Dia menatap wajah dua orang bawahannya itu. Kedua-duanya kelihatan letih dan tertekan. Kes melibatkan Jason Hong dan Azizan Rasid telah menyebabkan ramai anggota polis tidak cukup tidur. Dia pasti, matanya juga sembap seperti kedua-dua inspektor itu.

                “Tuan,” Inspektor Mardhiah membuka bicara. “Suspek utama masih belum sihat sepenuhnya. Dia masih berada di hospital. Doktor menjangkakan kita ada seminggu lagi sebelum kita boleh bercakap dengannya.”

                “Keadaannya bagaimana?”

                “Semakin stabil. Doktor mengesahkan dia mengalami amnesia. Pasukan saya juga telah membuat kesimpulan yang sama. Kami telah meneliti transkrip perbualannya. Memang benar dia menyangka dirinya belajar di Universiti Malaya.”

                “Tuan,” Inspektor Kamal mencelah. “Kami telah dapat mengesan Redzuan Muhammad. Kita bernasib baik kerana dia seorang jurutera JKR. Dia faham tugasnya semasa taklimat. Saya rasa tidak akan ada banyak masalah.”

Pesuruhjaya Alimudin menganggukkan kepalanya, sambil bersandar di kerusinya.

                “Tuan, saya rasa lebih baik kita gunakan orang dalam. Redzuan Muhammad tidak berpengalaman dalam hal sebegini. Saya rasa sukar untk rancangan ini berjaya jika dia yang menjadi pelaksana.”

                “Tetapi, Redzuan Muhammad merupakan satu-satunya orang yang boleh rapat dengan dia. Pasukan saya yakin yang dengan Redzuan Muhammad suspek akan lebih cepat mengingat dan lebih selesa bercakap.”

                “Kita tidak boleh ambil risiko sebarang ketirisan maklumat.” Inspektor Mardhiah memberikan pandangan tajam kepada Inspektor Kamal. “Saya rasa, untuk memastikan siasatan kita kekal sulit orang dalam merupakan pilihan terbaik. Adalah mustahil Redzuan Muhammad boleh memberikan kerjasama dengan konsisten sehingga siasatan kita selesai”.

                “Kita sudah teliti profail Redzuan Muhammad. Dia seorang yang bijak dan faham tugasnya. Lagipun, dia member respon positif semasa taklimat. Analisis profail dan personalitinya menunjukkan yang dia sesuai untuk tugas ini.”

Pesuruhjaya Alimudin membiarkan kedua-dua orang bawahannya menyampaikan hujah masing-masing. Segala baik buruk langkah yang mereka cadangkan sudah diteliti. Pesuruhjaya itu tahu, dialah yang akan membuat keputusan akhir. Pada awalnya, dia memang ingin menggunakan salah seorang detektif mereka sendiri. Inspektor Kamal merupakan orang yang muncul dengan idea menggunakan seseorang yang dikenali oleh suspek. Inspektor Kamal merupakan seseorang yang sentiasa membawa idea baru, tetapi kadang kala dirasakan yang inspektor itu sentiasa terburu-buru. Namun, Pesuruhjaya Alimudin telah membuat keputusannya.

                “Saya telah meneliti profail Redzuan Muhammad.” Kedua-dua orang bawahannya memandang pesuruhjaya itu. “Saya mahu Inspektor Kamal teruskan dengan rancangan menggunakan Redzuan Muhammad.” Inspektor Kamal kelihatan lega. Raut wajah Inspektor Mardhiah tidak berubah, namun Pesuruhjawa Alimudin tahu yang Inspektor Mardhiah hanya mendiamkan bantahannya kerana wanita itu bukan seorang yang mudah mengalah. “Inspektor Mardhiah, teruskan dengan siasatan biasa. Saya mahu laporan setiap dua puluh empat jam.  Jika semua berjalan lancer, akan ada satu titik pertemuan antara kedua siasatan kamu.”

                “Baik tuan.” Inspektor Mardhiah akur. Kedua-dua inspektor itu bangun.

                “Mohon diri, tuan.” Mereka menabik sebelum keluar dari bilik pesuruhjaya itu.